PERCAYALAH DOKTRIN  BASIC STRUCTURE AKAN DIGUNAKAN UNTUK MEMBATALKAN KESALAHAN SYARIAH

Standard

Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad


Dalam rencana-rencana dan ucapan saya sebelum ini,  saya menentang doktrin basic structure khususnya atas alasan hakim-hakim telah memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk meminda Perlembagaan dengan menentukan mana-mana peruntukan Perlembagaan merupakan basic structure Perlembagaan itu dan, oleh itu, tidak boleh dipinda oleh Parlimen.

Ini melanggar peruntukan Perkara 159 yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan asalkan prosedur yang ditetapkan oleh Perkara 159 itu dipatuhi. Perlembagaan tidak berkata ada peruntukan yang tidak boleh dipinda. Malah ia tidak boleh berkata demikian kerana Perlembagaan pun dibuat oleh Parlimen. Parlimen hari ini juga tidak boleh menghalang Parlimen masa depan membuat pindaan kepada Perlembagaan.

Tetapi, sekarang, mengikuti penghakiman Mahkamah Agung India, mahkamah kita turut berkata mahkamah/hakim boleh menghalang Parlimen membuat pindaan kepada Perlembagaan. Kesannya samalah seperti menambah satu klausa lagi kepada Perkara 159 yang mengatakan “Mahkamah boleh menentukan mana-mana peruntukan Perlembagan ini yang menjadi basic structure Perlembagaan ini.  Peruntukan-peruntukan  itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen.” Anehnya ia dibuat oleh hakim-hakim.

Soalan: Dari mana hakim-hakim itu mendapat kuasa untuk berbuat demikian? Mahkamah Agung India?

Saya katakan ia tidak akan berhenti di situ. Langkah selepas itu ialah mengatakan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang bercanggah dengan basic structure adalah tidak sah. Hujahnya ialah, jika peruntukan baru yang bercanggah dengan basic structure tidak boleh diadakan, peruntukan sedia ada yang bercanggah dengan basic structure pun tidak boleh bibiarkan beroperasi kerana kedua-duanya sama-sama bercanggah dengan basic structure dan sama-sama tak sah dan batal.

Atas asas tersebut, mereka akan menghujahkan bahawa Perkara 11 (Kebebasan Beragama) adalah sebahagian daripada basic structure, oleh itu peruntukan dalam Senarai II, Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) yang bercanggah dengan Perkara 11 adalah tak sah dan batal.

Satu langkah lagi ialah mengatakan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri itu, walaupun ia mengenai precepts of Islam dan hanya terpakai kepada orang Islam yang bercanggah dengan peruntukan basic structure adalah tidak sah. Hujahnya ialah Perkara 11 terpakai kepada semua bahagian Perlembagaan. Dalam kata-kata lain, Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membuat undang-undang di bawah Senarai Negeri, tetapi, jika ia bercanggah dengan Perkara 11, undang-undang itu tidak sah dan batal.

Sebagai misalan, DUN membuat undang-undang menjadikan kesalahan bagi seorang Islam berzina, meminum minuman yang memabukkan dan tidak membayar zakat. Mereka akan berhujah Perkara 11 adalah basic structure. Ia bukan hanya  menjamin kebebsan seseorang untuk menganut mana-mana agama atau tidak langsung. Ia juga menjamin seseorang untuk beramal atau tidak beramal dengan apa-apa suruhan dan larangan mana-mana agama. Dalam kata-kata lain,  Perkara 11 menjamin kebebasan seseorang sama ada dia hendak berzina atau tidak,  meminum minuman yang memabukkan atau tidak, membayar zakat atau tidak. Oleh itu undang-undang itu bercanggah dengan basic structure, tidak sah dan batal.

Hujah kita mengapa Perkara 11 tidak terpakai kepada kesalahan yang dibuat di bawah Senarai Negeri ialah, senarai Negeri merupakan pengecualian daripada peruntukan umum Perlembagaan. Ia membolehkan undang-undang agama dibuat terpakai kepada orang Islam sahaja dan dibicarakan oleh Mahkamah Syariah. Asalkan undang-undang itu berkenaan precepts of Islam ia sah tidak kira ia bercanggah atau tidak dengan Perkara 11. Tetapi, jika Perkara 11 merupakan basic structure dan mana-mana bahagian Perlembagaan atau undang-undang yang dibuat di bawahnya yang bercanggah dengan Perkara 11 itu  tak sah dan batal, maka akan tak sah dan batallah ia. Oleh itu, undang-undang yang menjadikan kesalahan-kesalahan yang saya sebut sebagai misalan tadi itu semuanya tak sah dan batal.

  

Mereka akan berhujah mereka tidak mengatakan semua Perenggan 1 Senarai Negeri dan undang-undang yang mewujudkan kesalahan mengenai precepts of Islam yang dibuat di bawahnya tak sah dan batal. Sebaliknya, mereka hanya mengatakan hanya undang-undang yang mewujudkan kesalahan tertentu itu yang tak sah dan batal sebab ia bercanggah dengan Perkara 11.

Saya percaya ada pihak yang sedang menunggu untuk membuat permohonan untuk mendapat perisytiharan seperti itu, ada peguam yang akan menghujahkan demikian dan ada pula hakim yang akan menerima hujah itu dan Majlis Peguam akan menyokongnya.

Walaupun sudah agak terlewat kerana Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun telah mengesahkan  pemakaian doktrin itu yang diimport oleh DS Sri Ram dari India yang mengenepikan dua penghakiman Mahkaman Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Mohamed Suffian, yang kekal sebagai undang-undang negara ini selama 33 tahun, sehingga diketepikan oleh DS Sri Ram hanya dengan satu obiter (kenyataan sampingan yang tidak merupakan prinsip penghakiman itu)tanpa merujuk kepada penghakiman-penghakiman  Mahkamah Persekutuan sebelumnya itu.

Tidak kurang mendukacitakan, obiter itu diikuti oleh Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh TS Zainun Ali dan sekarang, berulang kali disahkan oleh Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun dan hakim-hakim pilihan yang sependapat dengannya atau mengikutinya. Suara-suara menentang di Mahkamah Persekutuan sudah tidak kedengaran lagi kerana mereka tidak duduk dalam panel-panel yang mendengar isu-isu itu.

Harapan kita ialah, mana tahu dengan terus menyatakan pendirian dan hujah-hujah kita, akan ada hakim-hakim yang akan berfikir semula dan nampak akan bahayanya doktrin itu diterima pakai di negara ini dan berani menyatakannya. Kita tidak boleh mengharapkan ahli-ahli Parlimen kerana bagi mereka kehilangan kerusi mereka adalah lebih penting daripada kuasa Parlimen dirampas oleh mahkamah.

Jika tiada siapa mempedulikan kita pun dan jika apa yang dikhuatiri akan berlaku itu berlaku pun,  kita yakin, sejarah ada merakamkan bahawa kita telah menentangnya.

18 10 2022

tunabdulhamid@gmail.com                                 

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

RAJA BERPERLEMBAGAAN: PERKEMBANGAN YANG MERISAUKAN

Standard

Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

Dalam tahun 1946, apabila Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Malayan Union, Raja-Raja Melayu hampir menyerahkan kesemua kuasa mereka  kepada penjajah British. Nasib baiklah orang Melayu sedar akan kesilapan itu dan bangun menentangnya.

Gerakan itu membawa kepada penubuhan UMNO yang menyambungnya dengan menuntut kemerdekaan. Manakala negara-negara lain yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua membuang raja-raja mereka, seperti India dan Indonesia, UMNO dengan tegas mahukan Raja-Raja Melayu terus bertakhta selepas Merdeka. Maka, termaktublah peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dengan hak dan keistimewaan mereka. Di peringkat Persekutuan diadakan seorang raja berperlembagaan yang diberi nama Yang di-Pertuan Agong.

Sistem raja berperlembagaan itu berjalan dengan licin selama lebih kurang 40 tahun dengan Raja dan Kerajaan hormat menghormati antara satu sama lain, masing-masing melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Kerajaan berunding dengan Raja di mana ia dikehendaki berunding. Raja mengikut nasihat Kerajaan di mana Baginda dikehendaki berbuat demikian.

Pindaan Perlembagaan

Kita mula nampak adanya masalah apabila Perlembagaan dipinda dengan menubuhkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja bagi kes-kes jenayah dan mal. Jika tiada kes berlaku atau jika tidak dikhuatiri berlaku masakan mahkamah tersebut ditubuhkan. Orang yang paling tahu hal itu adalah Tun Dr. Mahathir kerana beliaulah Perdana Menteri pada masa Perlembagaan dipinda untuk menubuh mahkamah itu.

Ini diikuti dengan pindaan kepada Perkara 66 dan 40.

Perkara 66 dipinda dengan menambah Klausa (4A).

“(4A) Jika  sesuatu  Rang  Undang-Undang  tidak  diperkenankan oleh  Yang  di-Pertuan  Agong  dalam  masa  yang  ditentukan dalam  Fasal  (4),  Rang  Undang-Undang  itu  hendaklah  menjadi undang-undang  apabila  habis  masa  yang  ditentukan  dalam Fasal  itu  mengikut  cara  yang   sama  seolah-olah  dia  telah  memperkenankannya.”

Tentulah ada Raja yang enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen yang menyebabkan pindaan itu perlu dibuat, pada hal mengikut convention ia sepatutnya ditandatangani in due course.

Pindaan itu dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 40 dengan menambah klausa (1 A):

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: dalam perkara yang Raja dikehendaki oleh Perlembagaan berbuat sesuatu mengikut nasihat Kerajaan, apabila dinasihatkan berbuat sesuatu, buat.

Orang yang paling tahu mengapa pindaan-pindaaan itu perlu dibuat adah Tun Dr. Mahathir dan DS Anwar Ibrahim. Pada masa itu, Tun Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri dan DS Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan pindaan itu di Parlimen.

Proklamasi Darurat

Pada 23 Oktober 2020, sebagai Perdana Menteri, TS Muhyiddin menyembahlan keputusan Jemaah Menteri untuk dibuat deklarasi darurat untuk menangani pandemic Covid-19.

Dalam hal mengisytiharkan darurat, Privy Council telah memutuskan dalam kes Teh Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

Tetapi, pada esoknya, pada 24 Oktober 2020, Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, menyebut bahawa YDPA “telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Rundingan tersebut diadakan pada 25 Oktober 2020 dan, selepas, itu Istana Negara mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, berbunyi:

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”

Perlu diingati bahawa tindakan berunding dengan Raja-Raja Melayu itu tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan. Perlembagaan menghendaki Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam hal itu.

Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.”

Perlu diingati juga bahawa kenyataan ini dibuat di luar bidang tugas Yang di-Pertuan Agong. Tidak pula disebut pahawa pandangan Kerajaan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut diminta.

Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:

“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”

Sekali lagi Raja-Raja Melayu melibatkan diri dalam perkara yang terletak di luar bidang kuasa mereka.

Pembatalan Ordinan Darurat

Sampai kepada isu pembatalan ordinan-ordinan darurat. Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang  di-Pertuan Agong pada  masa  proklamasi  darurat  sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat  kuasa. Satu daripadanya ialah apabila ia dibatalkan (revoked)di bawah Fasal (3).

Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri.

Berdasarkan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, nampaknya Kerajaan telah mengalah dan memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021

Pada 21 Julai 2021 Jemaah Menteri, dalam mesyuaratnya membuat keputusan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam mesyuarat itu juga, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa deklarasi darurat itu berkuatkuasa.

Pada 24 Julai 2021 dokumen-dokumen tersebut telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menelitinya, Baginda menitahkan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Seri Takiyuddin Hassan (DS Takiyuddin) dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) untuk menghadap Baginda secara maya.

Semasa sesi menghadap secara maya itu Baginda menitahkan, antara lain:

1. (Baginda) Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan ianya diwartakan.

2. (Baginda) Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

3.  Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sekali lagi, kesemua ini adalah di luar Perlembagaan.

Salah Faham

Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021 Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya ordinan-ordinan tersebut dibentang di hadapan Dewan Rakyat, dibahaskan dan diungkai oleh Parlimen. Maka, DS Takiyuddin telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Kenyataan itu telah disambut dengan bantahan daripada pihak pembangkang.

Pada 29 Julai 2021, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang, antara lain, mengatakan:

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir, DS Zahid Hamidi, Presiden UMNO melompat dan menyerang DS Takiyuddin, Perdana Menteri dan Kerajaan PN. Mereka menuduh DS Takiyuddin  mengelirukan dan berbohong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menuntut DS Takiyuddin, Perdana Menteri, dan semua Ahli-Ahli Jemaah Menteri meletak jawatan. Ada yang melaung “menghina” dan “derhaka” dalam Dewan Rakyat.

Pada hari yang sama (29 Julai 2021) Pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan kenyataan media. Kenyataan itu menekankan bahawa ordinan-ordinan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri tanpa perlu diungkai oleh Parlimen dan apa yang telah dilakukan oleh Jemaah Menteri itu adalah betul di sisi undang-undang. Kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat dan memetik Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan.

Dari sini kita dapat lihat bahawa masalah ini timbul daripada salah faham mengenai maksud bertindak atas nasihat. Malangnya, isu itu tenggelam dalam riuh rendah yang berbangkit daripda kesilapan kecil DS Taliyuddin yang tertinggal lima perkataan iaitu “untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong” yang diperbesarkan itu. Peristiwa ini berlarutan hingga TS Muhyiddin meletak jawatan.

Perdana Menteri Baru

Apabila TS Muhyiddin meletak jawatan, maka terletaklah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu. Perlembagaan memperuntukkan dengan mudah dan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat” untuk menjadi Perdana Menteri.” – Perkara 43(2)(a).

Perlembagaan tidak menghendaki Baginda memastikan bahawa orang yang dilantik itu semestinya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kerana orang yang dilantik itu akan tertakluk kepada undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Perlembagaan juga tidak menetapkan aturcara (procedure) yang Baginda perlu ikuti untuk membuat keputusan siapa yang hendak dilantiknya.

Apakah yang berlaku?

Pada 17 Ogos 2021, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan ke Istana Negara dan menamakan calon pilihan masing-masing untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9. Mereka diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4.00 petang esoknya (18 Ogos 2021) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis. Surat akuan itu hendaklah disahkan sebagai benar. Arahan berkenaan dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Keperluan Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan ini tidak diperuntukkan di mana-mana. Jika ia merupakan satu cara untuk mendapat maklumat siapakah yang mungkin mendapat sokongan majoriti, tidak mengapalah, tetapi janganlah ia sampai dijadikan satu  precedent yang mesti dikuti.

Selepas surat-surat akuan itu diterima dan dihitung, DS Ismail Sabri mendapat sokongan majoriti iaitu 114 berbanding 105 yang diperoleh DS Anwar Ibrahim.

Sepatutnya pelantikan sudah boleh dibuat kerana DS Ismail Sabri telah mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rayat. Tetapi, Ahli-Ahli Dewan Rayat yang menyokong DS Ismail Sabri dipanggil pula untuk mengesahkan pendirian mereka. Ini telah menimbulkan syak sama ada Yang di-Pertuan Agong cuba menghalang DS Ismail Sabri daripada menjadi Perdana Menteri.

Tidak cukup dengan itu, ketua-ketua parti pula dipanggil. Mengikut sumber yang boleh dipercayai, seorang demi seorang ketua-ketua parti itu ditanya sama ada mereka bersetuju diadakan sebuah kerajaan perpaduan, anehnya, bermula dengan DS Anwar Ibrahim.

Kerajaan Perpaduan

Lebih kurang pada masa yang sama, DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah kerajaan perpaduan hendaklah ditubuh yang dianggotai semua parti. Ingat kembali, hanya beberapa hari sebelumnya, mereka menolak sekeras-kerasnya tawaran TS Muhyiddin untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang inklusif.

Kita tidak tahu idea kerajaan perpaduan itu datangnya daripada DS Anwar Ibrahim, Istana Negara atau orang-orang yang rapat dengan Istana Negara atau terdapat kesepakatan antara mereka. Apa yang merisaukan ialah bahawa Yang di-Pertuan Agong, dalam pertemuan dengan ketua-ketua parti itu, menunjukkan bahawa Baginda menghendaki sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan, walaupun DS Ismail Sabri telah mendapat sokongan majoriti. Malah, mengikut sumber yang boleh dipercayai terdapat cubaan menghendaki DS Ismail Sabri menandatangani surat pengakuan bahawa selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau akan menubuh kerajaan perpaduan, senada dengan apa yang dikehendaki oleh DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Jika benarlah demikian, ia bererti Yang di-Pertuan Agong telah melebihi bidang tugas Baginda dan Baginda telah campur tangan dalam hal politik, sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan Baginda. Niat Baginda mungkin baik, tetapi ia terletak di luar bidang tugas Baginda.

Esoknya, pada 20 Ogos 2021, mesyuarat Raja-Raja Melayu pula diadakan. Ini tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang. Ia tidak disuruh dan tidak dilarang. Perlembagaan tidak memberi Raja-Raja Melayu apa-apa peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Paling kurang, bolehlah dikatakan mesyuarat itu  tidak perlu. Sebaliknya, dengan mengadakan mesyuarat itu, ia memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan sendiri.

Namun demikian, beberapa jam selepas mesyuarat itu tamat, keluarlah kenyataan media bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan melantik DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Kita fikir, dengan itu selesailah kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-9, suatu tindakan mudah yang telah disusahkan hingga menimbulkan berbagai keraguan, syak wasangka dan ketidaktentuan yang tidak sepatutnya berlaku jika pelantikan dibuat terus seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Undi Percaya

Tetapi, tidak. Ingat semula, sebelum pelantikan. DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Istana Negara ada mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan beliau tertakluk kepada undi percaya dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 13 September 2021.

Apabila tarikh persidangan itu semakin dekat dan tiada tanda-tanda Kerajaan akan membawa isu percaya terhadapnya, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan mengingatkan semula bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos telah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti. Kegagalan melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, katanya.

Pada hari yang sama, Malaysiakini memetik DS Anwar Ibrahim sebagai berkata, “Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang semula yang turut dipersetujui semua ketua parti.”

Pada hari yang sama juga, Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media, yang selepas menurunkan proses pelantikan DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, menyatakan:

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain. Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.”

 Selepas itu Majlis Presiden Pakatan Harapan pula mengeluarkan kenyataan yang, antara lain, mengatakan:

“Kenyataan Peguam Negara ini bertentangan dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos yang lalu.

Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan KDYMM Seri Paduka Baginda Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti….

Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.

Pakatan Harapan mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi beliau juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.”

Perhatikan, pertama, kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu telah digunakan sepenuhnya oleh pembangkang sebagai alasan bagi menuntut apa yang mereka kehendaki. Sama  ada persamaan pendapat keduanya satu kebetulan atau tidak ia boleh memberi gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong berada di sebelah pembangkang atau nama Baginda digunakan oleh pembangkang untuk kepentingan mereka. Semua ini tidak akan berlaku jika Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan itu.

Kedua, apa yang disebut dalam kenyataan itu terletak di luar bidang tugas Yang di-Pertuan Agong. Tugas Yang di-Pertuan Agong adalah melantik Perdana Menteri baharu daripada “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”. Setelah membuat pelantikan, tugas Baginda selesai. Bukanlah tanggungjawab Baginda untuk memastikan orang yang Baginda lantik itu benar-benar mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau masih lagi mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Ketiga, tidak ada sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong patut meletakkan beban membuktikan keabsahan pelantikan olehnya di atas bahu Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengapa Yang di-Pertuan Agong menghendaki Perdana Menteri membuktikan pelantikannya yang dibuat oleh Baginda itu sah?

Keempat, dengan menghendaki Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap diri dan Kerajaannya sendiri, memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak yakin terhadap keputusan yang dibuatnya sendiri atau/dan Perdana Menteri itu tidak yakin bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat. 

Kelima, mana-mana pihak yang hendak mencabar keabsahan pelantikan itu hendaklah melakukannya di mahkamah. Mana-mana pihak yang hendak mencabar kelayakan seorang Perdana Menteri untuk terus memegang jawatan itu atas alasan beliau tidak mendapat sokongan majoriti hendaklah membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat. Beban pembuktian terletak di atas bahu pihak yang menuduh/mencabar.

Mengenai peranan yang dimainkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kita bersandar kepada petikan apa yang dikatakan oleh DS Anwar Ibrahim seperti yang disiar oleh Malaysiakini dan kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan. Daripada kedua-dua dokumen itu adalah jelas bahawa memang benar ketua-ketua parti dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga turut hadir dalam majlis itu. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mempercayai kebenaran apa yang dikatakan dalam dokumen-dokumen itu iaitu “Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang semula….”

Dokumen-dokumen ini juga menyokong cerita bahawa dalam perjumpaan itu, ketua-ketua parti disoal seorang demi seorang sama ada mereka menyokong penubuhan kerajaan perpaduan.

Dalam kedua-dua hal ini (menghendaki penubuhan kerajaan perpaduan dan membawa usul percaya di Dewan Rakyat), dengan penuh taat setia, saya berpendapat Baginda juga telah melampaui bidang tugas Baginda. Sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Baginda tidak ada peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Sekarang, nama Baginda digunakan oleh pembangkang sebagai alasan bagi menyokong tuntutan mereka.

Saya percaya Baginda tidak menyangka kehadiran Baginda dan apa yang dikatakan oleh Baginda dalam majlis itu akan didedahkan kepada umum untuk menyokong tuntutan pembangkang. Biar apa pun ia telah berlaku: ahli politik akan menggunakan sesiapa sahaja untuk mencapai tujuan mereka – kuasa.

Kenyataan Peguam Negara

Sampai kita kepada kenyataan media Peguam Negara. Saya percaya ia dibuat atas permintaan Pejabat Perdana Menteri. Maka, nasihat saya yang pertama sekali ialah beliau hendaklah belajar berkata “tidak” kepada ahli-ahli politik, di mana berkenaan. Sebenarnya ini bukan isu undang-undang. Ia adalah isu politik. Jika apa yang hendak dicabar itu adalah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong (saya tidak nampak bagaimana ia boleh dicabar), maka itu adalah isu undang-undang dan forumnya adalah di mahkamah. Apa yang hendak dicabar sekarang ialah sama ada, pada masa ini, khususnya pada masa undi percaya atau tidak percaya dilakukan, Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Ia tidak ada kena mengena dengan persoalan pelantikannya oleh Yang-Pertuan Agong sah atau tidak.

Kedua, dengan Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan pembangkang berada di pihak yang sama, apabila Peguam Negara mengeluarkan kenyataan itu, beliau nampak seperti mempertahankan pendirian kerajaan. Lainlah halnya jika ia isu undang-undang.

Ketiga, terdapat kekeliruan dalam pendapat itu sendiri apabila ia berkata “Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain”. Seperti yang telah disebut, apa yang hendak dicabar bukanlah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi sama ada, pada masa ini Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Maka hujah Peguam Negara itu tidak berkenaan.

Pada 7 September 2021, semasa saya sedang menyemak rencana ini, saya menerima berita bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan undi percaya tidak perlu dilakukan terhadap Perdana Menteri DS Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.

Saya percaya bahawa apa yang dimaksudkan dengan “undi percaya” itu adalah undi percaya yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong dibawa oleh Kerajaan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaannya. Dalam kata-kata lain, Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menghendaki undi percaya itu dibawa oleh Kerajaan. Ia tidak termasuk undi tidak percaya yang mungkin akan dibawa oleh pembangkang kerana saya tidak fikir Baginda atau sesiapa boleh menghalang pembangkang berbuat demikian.

Dari awal saya katakan bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa ia ada sokongan majoriti. Beban membuktikan Kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti terletak di atas bahu orang yang mengatakan Kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti. Dalam kata-kata lain Kerajaan tidak perlu membawa undi percaya terhadap dirinya.

Jika semua pihak memahaminya, Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan mengeluar kenyataan menghendaki dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan menitah Kerajaan membawa, undi percaya terhadapnya sendiri apabila Parlimen bersidang. Sekarang Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan undi percaya itu tidak diperlukan. Bagaimana kita hendak reconcile keputusan baharu ini dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelumnya? Apa kata Timbalan Yang di-Pertuan Agong?

Demikian juga, jika semua pihak memahaminya, Perdana Menteri juga tidak perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan undi percaya itu tidak perlu dilakukan. Kita belum tahu apa komen pembangkang terhadap perkembangan baharu ini. Mengapa memberi modal kepada mereka?

Alasan yang diberi mengapa Yang di-Pertuan Agong mengubah pendiriannya adalah sama dengan kenyataan Peguam Negara, cuma ditambah dalam masa yang singkat itu tidak mungkin Ahli-Ahli Parlimen itu akan menukar fikiran mereka.

Alasan ini tidak lebih daripada anggapan dan tidak meyakinkan. Alasan sebenarnya ialah bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa ia ada sokongan majoriti. Noktah.

Kesimpulan

Dari sini dapat diperhatikan, selama lebih kurang 40 tahun selepas Merdeka, sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia berjalan dengan licin, Raja dan Kerajaan masing-masing menjalankan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Di sekitar 1984, mulalah timbul masalah yang berbangkit daripada keengganan Raja menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen, menyebabkan pindaan kepada Perkara 40 dan 66 terpaksa dibuat.

Tahun-tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan tindakan-tindakan di luar Perlembagaan yang menjadikan sesuatu yang mudah itu susah. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Raja-Raja, bukan sahaja tidak mengikut nasihat, di mana Perlembagaan memperuntukkan mereka kena berbuat demikian, tetapi melakukan sesuatu di luar Perlembagaan dan menitahkan sesuatu yang bercanggah, apatah lagi sesuatu yang bersifat politik, yang digunakan oleh pembangkang untuk mencapai kehendak mereka.

Maka, betul atau tidak, nampaklah seolah-olah Raja berada di satu pihak dan Kerajaan di satu pihak lagi. Sebagai reaksi kepada keadaan itu, Kerajaan pula menggunakan Peguam Negara untuk menyokong pendiriannya. Pada hal, Kerajaan boleh berkata dengan lantang, bukanlah tanggungjawabnya untuk membawa usul percaya terhadap dirinya untuk membuktikan ia ada sokomgan majoriti, tetapi sesiapa yang mengatakan Kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti adalah bebas untuk membawa usul tidak percaya terhadapnya.

Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pembangkang, bukan dengan mengaitkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk memaksa Kerajaan mengemukakan undi percaya terhadapnya sendiri. Adalah juga lebih baik jika Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak mengeluarkan kenyataan dan menitahkan supaya undi percaya dibawa oleh Kerajaan yang dijadikan modal oleh pembangkang, apatah lagi, kemudiannya Yang di-Pertuan Agong berkenan pula ia tidak perlu dilakukan.

Semua ini telah memberi alasan kepada Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, apabila disoal oleh wartawan apa yang beliau buat untuk menghilang rasa bosan yang disebabkan oleh Covid-19, beliau menjawab beliau menonton lawak politik Malaysia. Walaupun pedih telinga mendengarnya, kita tidak boleh menyalahkan beliau kerana kitalah yang memberinya alasan untuk berkata demikian.

08 09 2021

                              

http://www.tunabdulhamid.my

Kenyataan Jabatan Peguam Negara

Standard

KENYATAAN MEDIA

Kebelakangan ini terdapat pelbagai pihak telah memberikan pandangan mengenai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (“Yang di- Pertuan Agong”) untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini bertujuan memperjelaskan kedudukan perkara ini dari segi undang-undang.

2. Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

3. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan bolehlah dijalankan oleh Baginda atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Peruntukan tersebut juga hendaklah dibaca bersama

dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menghendaki Baginda untuk melantik Jemaah Menteri bagi menasihati Baginda dalam penjalanan fungsinya. Perkara ini dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya bagi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (the Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957) (“Suruhanjaya Reid”) di perenggan 58 seperti yang berikut:

“58. The Yang di-Pertuan Besar will be the Head of the State (Art. 27), but he must be a constitutional Ruler. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action…”.

4. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Raja Berperlembagaan seperti yang dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan negara ini telah diiktiraf secara konsisten dalam penghakiman mahkamah seperti penghakiman Privy Council dalam kes-kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 dan kes Stephen Kalong Ningkan v. Government of Malaysia [1968] 2 MLJ 238; Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Abdul Ghani bin Ali @Ahmad & Ors v. PP [2001] 3 MLJ 561; Merdeka University Berhad v. Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243; Balakrishnan v. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kerajaan Malaysia [1981] 2 MLJ 259 dan Karam Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia [1969] 2 MLJ 129 dan Mahkamah Tinggi dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286.

5. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan. Petikan

penghakiman YA Hakim Chang Min Tat dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di muka surat 289 adalah jelas –

“But while the legislative power has shifted from Parliament to the Yang Dipertuan Agung, the executive power of the Federation remains where it has always lain. By Article 39, the executive power of the Federation is vested in the Yang Dipertuan Agung and exercisable, subject to the provisions of any federal law and of the Second Schedule, by him or by the Cabinet. However Article 40 limits the executive authority of the Yang Dipertuan Agung to acting on the advice of the Cabinet or of a minister acting under the general authority of the Cabinet. It is only in certain matters, spelt out to be the appointment of a Prime Minister, the dissolution of Parliament and the requisition of a meeting of the Council of Rulers that he has a discretion.

Emergency rule which passes the legislative power from Parliament to the Yang Dipertuan Agung has not displaced his position as the Constitutional Monarch, bound by the Constitution to act at all times on the advice of the Cabinet.”.

6. Dalam kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 semasa menimbangkan Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang Di- Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan untuk memasyhurkan ordinan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adanya hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, Privy Council telah menyatakan bahawa kuasa ini, seperti juga

lain-lain kuasa di bawah Perlembagaan, “is conferred nominally upon the Yang di-Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation….his functions are those of a constitutional monarch… he does not exercise his functions under the Constitution on his own initiatives but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet”. Oleh itu sekiranya Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan memperuntukkan sesuatu keadaan bahawa apabila difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong atau apabila Yang di-Pertuan Agong perlu berpuas hati, “the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet…… to give advice upon the matter in question”.

7. Malahan, semasa pembentangan untuk meminda Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen bagi memasukkan Fasal (1A) pada tahun 1994, tujuan peruntukan tersebut dimasukkan telah diperjelaskan sebagai memperkukuhkan dan memperjelaskan prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan, mengukuhkan prinsip demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang. Dalam kes Abdul Ghani Ali v Pendakwa Raya [2001] 3 MLJ 561, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “…It is my considered view, based on the constitutional provisions and the authorities cited, that the Yang di-Pertuan Agong, in acting under cl (1) of art 150 of the Constitution in the position of a constitutional monarch, must act on the advice of the Cabinet as provided in art 40 of the Constitution…”. dan “…there can be no doubt that the Privy Council’s ‘opinion’ in the case of Teh Cheng Poh v PP ‘settles the point firmly that the Yang di-Pertuan Agong does not have a personal discretion under art 150(1) of the Constitution but has at all times to act on Cabinet advice.”.

8. Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa. Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh “sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”. Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

9. Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama- sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18. Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain

yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu.

10. Berdasarkan seksyen 17 dan 18 tersebut, perenggan 14(1)(b) ataupun mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut tidak mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

11. Berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang di- Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang- kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan. Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Peguam Negara Malaysia
25 Jun 2021

PERBINCANGAN YANG DI-PERTUAN AGONG DENGAN PEMIMPIN POLITIK, PERBINCANGAN KHAS BERSAMA RAJA-RAJA MELAYU, PENUBUHAN MAGERAN DAN PELANTIKAN PERDANA MENTERI OLEH MAJLIS RAJA-RAJA

Standard

Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad & Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz



Dalam masa dua minggu ini, sekurang-kurangnya empat perkara penting telah berlaku berkaitan dengan politik negara.

Pertama, Yang di-Pertuan Agong telah perkenan menghadap pemimpin parti-parti politik dan para pakar agensi kerajaan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu.

Kedua, Tun Dr. Mahathir mencadangkan penubuhan agensi seumpama Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Ketiga, Tengku Razaleigh mencadangkan Majlis Raja-Raja melantik Perdana Menteri baharu.

Keempat, keputusan atau titah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Mengenai yang pertama, oleh kerana kami tidak tahu tentang isi atau isu perbincangan yang sebenar, kami tidak akan membuat apa-apa komen mengenainya melainkan memperingatkan beberapa perkara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan) secara umum.

Pertama, negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Prinsip utama dalam sistem yang diamalkan secara serentak ini, melainkan dalam perkara-perkara yang dikecualikan oleh Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet (termasuk Menteri-Menteri) – Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan. Nasihat tersebut mestilah diikuti (Perkara 40(1A)). Melanggar peruntukan itu mungkin akan menyebabkan Peguam Negara tidak dapat membela sekiranya sesuatu cabaran terhadap keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong dibawa ke hadapan mahkamah dan mungkin keputusan atau tindakan itu diisytiharkan tak sah.

Kedua, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah Peguam Negara. Ini diperuntukkan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan. Jika Yang di-Pertuan Agong membelakangkan nasihat Peguam Negara, dan sekiranya berlaku cabaran terhadap sesuatu keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, Peguam Negara sukar untuk mengambil tanggungjawab pembelaan. Kami berpendapat orang-orang lain yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ada, sukar untuk dijamin locus standi bagi mencelah atau membela dalam sesuatu prosiding di mahkamah.

Sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, kabinet dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Mungkin nasihat itu tidak disenangi oleh Baginda, tetapi selagi ia bukan mengenai perkara yang Baginda mempunyai budi bicara, Baginda kenalah menerimanya dengan mengambil kira peranan baginda untuk mendapatkan maklumat secukupnya sebagaimana dibenarkan dalam Perkara 40(1) Perlembagaan.

Tindakan yang berbangkit daripada nasihat-nasihat itu juga mungkin tidak disukai oleh pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang (atau yang dalam Kerajaan), pemimpin-pemimpin persatuan NGO atau orang ramai, tetapi yang bertanggungjawab terhadapnya adalah Kerajaan. Pihak-pihak ini tidak boleh mengharapkan, apatah lagi cuba menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak mengikut nasihat Perdana Menteri, Kabinet atau Peguam Negara. Remedy mereka adalah di peti undi. Mereka boleh mengkritik Kerajaan dan parti memerintah sekuat-kuatnya, tetapi bukan mengkritik Yang di-Pertuan Agong kerana bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet atau Peguam Negara. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan.

Mengenai perkara kedua (Cadangan penubuhan MAGERAN), Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia itu mencadangkan penubuhan agensi seumpama MAGERAN, yang kemudiannya beliau namakan sebagai Majlis Pemulihan Negara, yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  1. Ia bukanlah untuk menggantikan kerajaan sedia ada.
  1. Majlis itu mempunyai tugas-tugas khusus, iaitu mengurangkan kes (Covid-19) baharu sehingga terbentuknya imuniti kelompok di negara ini, serta menyelesaikan isu berkaitan seperti ekonomi, pendidikan (termasuk isu persekolahan), serta politik.
  1. .
  1. . Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen.
  • Ahli-ahli Majlis akan terdiri dari pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman, penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti.

Persoalan yang timbul ialah, apakah punca kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan MAGERAN itu? Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyebut mengenai penubuhan MAGERAN. Justeru, kami berpendapat, untuk menubuhkan MAGERAN, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah ditamatkan dan digantikan dengan peruntukan yang baharu kerana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyatakan penubuhan Majlis seumpama itu. Atau, sebagai pilihan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah dipinda.

Sebenarnya, MAGERAN yang dicadangkan itu bukanlah sama seperti MAGERAN 1969. Sebagai contoh, pertama, MAGERAN 1969 ditubuhkan semasa Kerajaan belum dilantik akibat tragedy 13 Mei tersebut berlaku sejurus selepas pilihan raya diadakan. MAGERAN pada 1969 berfungsi seumpama menggantikan Kerajaan. Proklamasi Darurat 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menggantikan Kerajaan yang sedia ada.

Seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan:

“11. Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –

(a) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan mana-mana orang yang telah diberi fungsi eksekutif oleh undang-undang, hendaklah terus menjalankan fungsi itu;”

Kedua, berlainan dengan Proklamasi Darurat 1969, seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan:

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tugas-tugas khas yang diberikannya adalah luas, bukanlah sekadar mengurangkan serangan wabak Covic-19. Di mana letaknya sempadan bidang kuasa Kerajaan dan bidang kuasa MAGERAN?

Dari mana MAGERAN akan meperolehi dana untuk melaksanakan tugas-tugasnya?  Semestinya daripada Kerajaan. Katakanlah, Kerajaan, menuruti nasihat Peguam Negara bahawa penubuhan MAGERAN itu tidak sah, dan oleh itu, adalah salah bagi Kerajaan memberi dana untuk membiyai aktiviti MAGERAN dan, oleh itu, Kerajaan enggan  memberi dana kepada MAGERAN, bagaimana MAGERAN akan berfungsi?

Dikatakan, MAGERAN tidak akan diletakkan di bawah Kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menerima laporan atau keputusan MAGERAN? Jika dana diperlukan, masalah yang disebut pada perenggan sebelum ini mungkin timbul.

Ia juga akan meletakkan semua kuasa eksekutif yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Kabinet dan Menteri-Menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong. Memandangkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Kerajaan, Kabinet dan Menteri masih berfungsi, ia boleh menimbulkan persoalan bahawa akan wujud dua “Kerajaan” pada masa yang sama. Tidakkah ia akan bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berjalan seiring dan pada masa sama meletakkan bidang tugas masing-masing antara keduanya?

Dikatakan dengan adanya MAGERAN, Parlimen akan bersidang dan tindakan MAGERAN akan dibentang kepada Parlimen. Ini boleh dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang (Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat) dan laporan mengenai Covid-19 yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dibentangkan di Parlimen.

Mengenai keahlian MAGERAN, ahli-ahli pakar datang daripada kumpulan yang sama, malah mungkin orang yang sama yang akan dilantik. Jika tidak pun, orang-orang yang difikirkan layak dilantik, boleh dicadangkan untuk menganggotai mana-mana task force di bawah kendalian MKN.

Antara ahli-ahli yang dicadangkan termasuklah beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti. Persoalannya, siapakah mereka? Akhirnya, kita hanya menggantikan tokoh politik Kerajaan (Perdana Menteri) dengan tokoh politik lain, mungkin, wakil pembangkang.

Dikatakan tidak ada politik dalam MAGERAN. Jika ada tokoh politik, baik dari pihak kerajaan atau pembangkang, tidak dapat tidak pertimbangan politik akan diambil kira. Bagaimana hendak menghalangnya, apatah lagi sekiranya jawatankuasa (baik apa pun namanya) itu dipengerusikan oleh seorang ahli politik?

Kami berpendapat cadangan tersebut akan mencelarukan lagi keadaan. Yang penting ialah keanggotaan jawatankuasa yang akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atau Kerajaan, di mana berkenaan, sama ada MKN atau MAGERAN. Jika ditubuh MAGERAN sekalipun, orang yang sama akan duduk di dalamnya juga seperti KSU Kementerian Kesihatan, pasukan keselamatan, seperti polis dan tentera dan lain-lain. Yang lainnya, yang difikirkan sesuai dilantik boleh dilantik duduk dalam MKN. Justeru, kami medapati tidak ada keperluan untuk menubuhkan satu lagi agensi seperti MAGERAN? Nampaknya yang hendak diganti ialah pengerusinya  dengan tokoh politik lain.

Sampai kita kepada cadangan Tengku Razaleigh bahawa Raja-Raja Melayu perlu memilih seorang Perdana Menteri yang baharu untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis penularan COVID-19, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan itu selepas Dewan Rakyat berdepan kesukaran memilih Perdana Menteri.

Katanya, Dewan Rakyat tidak boleh menentukan Perdana Menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.

“Dewan Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan,” katanya.

Peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong disaksikan wakil Raja-Raja Melayu yang memilih baginda sebagai  mewakili Majlis Raja-Raja, katanya. 

Dengan hormat,  alasan yang diberinya itu bukanlah hujah undang-undang yang memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja untuk melantik seorang Perdana Menteri. Tiada peruntukan Perlembagaan yang telah dirujuk untuk menyokong cadangan bagi memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja melantik seorang Perdana Menteri baharu menggantikan Perdana Menteri yang sedia ada. Kami katakan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Tugas dan bidang kuasa MRR ditetapkan oleh Perlembagaan – lihat Perkara 38, Jadual Ketiga dan Jadual Kelima Perlembagaan. (Untuk mengikuti perbincangan lanjut sila lihat “Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan.’” 19 September 2017, http://www.tunabdulhamid.my).

Akhir sekali sampai kita kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Kami tiada komen terhadap kenyataan ini.

Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:

“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”

Kami juga berpendapat tidaklah perlu bagi kami mengulas kenyataan ini kerana ia merupakan pendapat dan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Demikian juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda semua yang tidak diperturunkan dalam rencana ini.

Kita perhatikan, pada kebelakangan ini, banyak pihak di luar Kerajaan yang tidak berpuashati terhadap sesuatu tindakan Kerajaan cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk melakukan apa yang mereka mahu walaupun ia jelas di luar bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Rja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap mereka. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang bijaksana perlu senantiasa waspada bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan di mana amanah yang baginda galas adalah diperuntukkan oleh Perlembagaan.  Baginda semua juga tertakluk kepada kedaulatan undaang dan perlu patuh kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan. Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan nasihat Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini. Pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan baginda kepada Kerajaan. Sama ada sesuatu keputusan berdasarkan nasihat itu politically popular atau pun, tidak baginda perlu meletakkan ketepatan undang-undang yang utama dan bukan sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik. Adalah menjadi tanggungjawab parti yang memerintah untuk menangani aspek politik kepartian. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan.

20 06 2021

Ulasan Tun Abdul Hamid, Bekas Ketua Hakim Negara berkaitan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum)

Standard

 

PENGESAHAN “KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI PENGHAPUSAN SEMUA BENTUK DISKRIMINASI KAUM” MERUGIKAN MELAYU

Oleh:

Tun Abdul Hamid Mohamad, Bekas Ketua Hakim Negara

 

 

Screenshot 2018-10-30 at 11.17.18 AM (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) (konvensyen) telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan (ratified) mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

Tetapi, dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU 14, kerajaan PH hendak mengesahkan konvensyen itu dan lima lagi konvensyen yang berkaitan, sebagai memenuhi janji pilihanrayanya, khususnya kepada orang bukan Melayu.

Maka, kita perlu tahu mengapa selama lebih daripada 50 tahun Malaysia, di bawah pemerintahan kerajaan BN, tidak mengesahkan konvensyen itu dan mengapa kerajaan PH hendak mengesahkannya. Untuk itu, kita perlu tahu terlebih dahulu isi kandungannya dan kesan pengesahannya.

Dalam rencana ini saya hanya akan memperturunkan bererapa peruntukan yang penting yang mungkin memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita, khususnya Perkara 153, kerana, atas satu alasan itu sahaja pun, ia sudah cukup merugikan orang lain.

Konvensyen itu, antara lain, memperuntukkan:

 

“Perkara 1

 

  1. Dalam Konvensyen ini, istilah “diskriminasi kaum” bermaksud sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal-usul kebangsaan atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merusakkan pengktirafan, penikmatan dan penggunaan, atas asas yang sama, hak asasi manusia (“or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights”) dan kebebasan asas dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan atau mana-mana bidang kehidupan umum.”[i] (Terjemahan saya. Untuk mengetahui peruntudan asal dalam Bahasa Inggeris, sila layari laman-laman web saya.)

 

Ringkasnya memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.

 

  1. Konvensyen ini tidak terpakai bagi perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan yang dibuat oleh Pihak Negara kepada Konvensyen ini antara warganegara dan bukan warganegara.[ii] (Terjemahan saya).

 

Maksudnya diskriminasi antara warganegara dan bukan warganegara dibenarkan.

 

  1. Langkah-langkah khusus yang diambil untuk tujuan tunggal untuk mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesetengah golongan kaum atau etnik atau individu yang memerlukan perlindungan sedemikian yang perlu untuk memastikan kumpulan atau individu yang sama menikmati atau menjalankan hak asasi manusia dan kebebasan asas tidak akan dianggap diskriminasi kaum , dengan syarat, bahawa langkah sedemikian tidak, akibatnya, membawa kepada penyelenggaraan hak yang berasingan bagi kumpulan kaum yang berlainan dan bahawa ia tidak akan diteruskan setelah tujuan ia diambil telah dicapai.[iii] (Terjemahan saya)

 

Ringkasnya, diskriminasi seperti yang terkandung dalam Perkara 153 dibenarkan jika ia memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam pasal ini. Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan “diteruskan setelah tujuan yang ia (langkah itu) diambil telah dicapai”. Selain dari itu, jika konvensyen itu disahkan, pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.

 

Saya berani mengatakan, jika konvensyen itu disahkan, dengan serta merta, akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.

 

“Perkara 2

 

1 Negara-negara Pihak mengecam diskriminasi kaum dan berusaha untuk melaksanakan dengan segala cara yang sesuai dan tanpa kelewatan dasar bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuknya dan mempromosikan persefahaman di kalangan semua kaum, dan, untuk tujuan ini:

 

  • Setiap Negara Pihak berjanji untuk tidak melakukan tindakan atau amalan diskriminasi kaum terhadap orang, kumpulan orang atau institusi dan untuk memastikan bahawa semua pihak berkuasa awam dan institusi awam, nasional dan tempatan, hendaklah bertindak mengikut kewajipan ini;[iv] (Terjemahan saya)

 

  • ……..

 

  • Setiap Pihak Negara akan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mengkaji semula dasar kerajaan, nasional dan tempatan, dan untuk meminda, membatalkan atau memansuhkan mana-mana undang-undang dan peraturan yang mempunyai kesan mewujudkan atau mengekalkan diskriminasi kaum di mana-mana ia wujud;[v] (Terjemahan saya)

 

Ringkasnya, kerajaan hendaklah, antara lain, berusaha untuk menghapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum. Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan.

 

Saya tiada masalah dengan Pasal 3 kerana kita tidak pernah mengamalkan apartheid.

 

Pasal 5 panjang. Sebagai misalan, ia menghendaki Negara Pihak menghapuskan diskriminasi dan menjamin hak kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam politik seperti bertanding dalam pilihanraya; hak untuk kebebasan bergerak dan tinggal dalam sempadan negara; hak untuk kebebasan keluar negara dan kembali semula; hak untuk kebebasan memiliki harta secara bersendirian atau bersama-sama orang lain; hak untuk mewarisi harta; hak untuk kebebasan berhimpun dan berpersatuan dan lain-lain. Semuanya sudah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan kita. Kita tidak ada masalah dengannya.

 

Apakah kesannya jika kita mengesahkan konvensyen itu?

 

Dalam hubungan negara kita dengan negara-negara lain, kita terikat dengan konvensyen itu.
Di peringkat dalam negera, kita kena melaksanakannya, termasuk mengubah dasar kita, misalnya UiTM mestilah dibuka kepada semua, tidak boleh dikhaskan kepada pelajar-pelajar Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak sahaja; pengambilan pegawai-pegawai awam tidak boleh mengikut quota lagi; demikian juga pemberian biasiswa, lesen dan kontrak, tidak boleh diberi keutamaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak lagi, dan berbagai-bagai lagi; undang-undang yang bersifat diskriminasi, termasuk Perkara 153 mestilah dimansuhkan, dan lain-lain lagi.

 

Itulah sebabnya kerajaan BN tidak mengesahkannya. Dalam hal ini, kita patut puji kerajaan BN dan peguam-peguam negara yang menasihatkan kerajaan BN dalam tempoh 50 tahun itu.

 

Perlu diambil ingatan, tempoh itu termasuk 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita juga patut puji beliau bagi tempoh itu. Bagaimana sekarang?

 

Sekarang, dengan Waytha Moorthy, Pengerusi Hindraf sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi perpaduan dan kesejahteraan; Tommy Thomas sebagai Peguam Negara; DAP sebagai parti dominan dalam PH walau pun PH menafikannya; pemimpin-pemimpin Amanah seperti masih khayal dengan kemenangan dan jawatan menteri; pemimpin-pemimpin PKR sibuk berebut jawatan dalan parti; Tun Dr. Mahathir cuba menyesuaikan diri dengan fahaman liberal dan sosialis DAP; kebencian terhadap Dato’ Seri Najib sampai ke tahap apa yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk 22 tahun yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sendiri, semuanya salah; beberapa orang menteri kerajaan PH yang tidak pernah merasakan kuasa dan kedudukan cuba menjadi juara masyarakat mereka sendiri; iri hati dan dendam terhadap orang Melayu dan janji pilihan raya PH, dengan itu semua, maka kerajaan PH bersedia untuk mengesahkan konvensyen itu. Para pemimpin Melayu dalam PH, sama ada dari Amanah, PKR atau pun PPBM, terus membisu.

 

Saya tiada masalah jika kita boleh mengesahkan konvensyen itu dengan pengecualian bahawa kita menerima konvensyen itu setakat yang ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan kita. Bolehkah Peguam Negara Tommy Thomas dan Waytha Moorthy memberi jaminan ia boleh dilakukan?

 

Saya hujahkan bahawa pengecualian (reservation) seperti itu tidak boleh dilakukan sebab ia bercanggah dengan tujuan asas konvensyen itu, iaitu menghapuskan diskriminasi kaum.

 

Lagi pula, bersetujukah Waytha Moorthy dengan pengecualian seperti itu? Jika Perkara 153 akan kekal, untuk apa konvesyen itu hendak disahkan sedangkan itulah tujuan ia hendak disahkan? Jika sekadar untuk mengadakan kesalahan-kesalahan untuk mengelak ketegangan antara kaum, sekarang pun kesalahan-kesalahan itu telah ada dalam Akta Hasutan 1948. Jika tidak cukup tambahkan sahaja. Peliknya Akta Hasutan hendak dimansuhkan. Konvensyen itu hendak disahkan.

 

Saya katakan, tujuan utama konvensyen itu hendak disahkah adalah kerana mereka mahukan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak itu, dihapuskan. Mereka tidak berkata dengan terus terang bahawa itulah tujuan mereka, untuk mengelak bantahan. Maka, mereka menuntut supaya Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan. Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu, yang telah termaktub dalam Perlembagaan itu, akan terpaksa dimansuhkan.

 

Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, mereka mengatakan bahawa pengesahan itu tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul.

 

Alasan yang mereka beri untuk memansuhkan Perkara 153 (walaupun mereka tidak berkata dengan terus terang) ialah Perkara 153 itulah yang menghalang perpaduan. Mansuhkan Perkara 153, perpaduan akan tercapai. Dalam kata-kata lain, hapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan berikan mereka hak yang sama, perpaduan akan wujud! Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Ini orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, perlu sedar.

 

Kepada anak-anak negeri Sabah dan Sarawak saya ingatkan, bahawa untung rugi mereka adalah bersama orang Melayu dalam hal ini. Jangan kerana benci kepada orang Melayu atas isu agama hingga terlupa isu yang lebih besar.

 

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR, PPBM dan Amanah saya bertanya, apakah pendirian mereka?

 

Kepada kerajaan PH saya ingin bertanya, adakah ia benar-benar hendak menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak? Jika, ya, cakap terus terang supaya semua orang tahu. Jangan berselindung di sebalik konvensyen itu.

 

Kepada semua yang berjuang untuk mengesahkan konvensyen itu, jangan cuba memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara paria kerana tidak mengesahkan konvensyen itu. Amerika Syarikat pun baru mengesahkannya dalam tahun 1992.

 

Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (1966)[vi] yang merupakan sebahagian daripada International Bill of Human Rights belum disahkan oleh Amerika Syarikat. Malaysia juga belum mengesahkannya.

 

Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (1979)[vii] telah disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara maju yang masih belum mengesahkannya.

 

Konensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (1989)[viii] telah disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat adalah satu daripada dua buah negara yang belum mengesahkannya.

 

Akta Mahkamah Jenayah Antarabangsa Rome (1998)[ix] belum disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat juga belum mengesahkannya.

 

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Pendatang dan Anggota Keluarga Mereka (1990)[x] belum disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat juga belum mengesahkannya.

 

Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (2006)[xi]. Malaysia sudah pun mengesahkannya. Amerika Syarikat masih belum mengesahkannya.

Itu adalah beberapa misalan daripada berapa banyak konvensyen yang belum disahkan oleh   Amerika Syarikat.

Orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak perlu sedar apa yang sedang berlaku dan mempertahankan hak mereka yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Pelampaukah kita?

 

30 10 2018

tunabdulhamid@gmail.com

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

 

 

[i] Perkara 1 1. In this Convention, the term “racial discrimination” shall mean any distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin which has the purpose or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural or any other field of public life.

[ii] 2. This Convention shall not apply to distinctions, exclusions, restrictions or preferences made by a State Party to this Convention between citizens and non-citizens.

 

[iii] 4. Special measures taken for the sole purpose of securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedoms shall not be deemed racial discrimination, provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial groups and that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved.

 

[iv] Perkara 2 1 States Parties condemn racial discrimination and undertake to pursue by all appropriate means and without delay a policy of eliminating racial discrimination in all its forms and promoting understanding among all races, and, to this end:

 

(a) Each State Party undertakes to engage in no act or practice of racial discrimination against persons, groups of persons or institutions and to ensure that all public authorities and public institutions, national and local, shall act in conformity with this obligation;

 

[v] © Each State Party shall take effective measures to review governmental, national and local policies, and to amend, rescind or nullify any laws and regulations which have the effect of creating or perpetuating racial discrimination wherever it exists;

 

[vi] International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (1966) (ICESCR)

 

[vii] Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (1979)

 

[viii] Convention on the Rights of the Child (1989)

 

[ix] Rome Statute of the International Criminal Court (1998) (ICC)

 

[x] International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families (1990)

 

[xi] Convention on the Rights of Persons with Disabilities (2006)

DI TEBING ISTIKHARAH INI

Standard

DI TEBING ISTIKHARAH INI

Hati jadi sendu
Menanti yang padu
Untuk langkah berlalu
Mengenggam sebuah restu

KepadaNya daku berserah
Apa jua natijah ku kan pasrah
Aku lemah untuk menelah
Apa yang akan nanti diredah

Buat warkah itu aku mengangguk
Bukan tamak tapi harap
Agar darinya amal meresap

Ku tahu langkah ini intinya besar
Berat di bahu kan makin melebar
Tapi tika saat tidak dapat digegar
Amal yang akan berpaksi bukan gelar

Izinkan aku berserah diri lagi
Buat langkah yang belum pasti
Mencari sebuah erti
Di tebing istikharah ini…

FATHI YUSOF (2016)

Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Masa Akta 355 diperkenalkan pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984, tidak ada pun kontroversi, tetapi kenapa sekarang timbul macam-macam kecoh hingga perlu ada demonstrasi dan ceramah sana-sini?

Standard

Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Masa Akta 355 diperkenalkan pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984, tidak ada pun kontroversi, tetapi kenapa sekarang timbul macam-macam kecoh hingga perlu ada demonstrasi dan ceramah sana-sini?

 

Jawapan:

 

  1. Pindaan Akta 355 jadi kontroversi kerana kedudukan Mahkamah Syariah sekarang tidak sama dengan keadaan tahun 1965 dan 1984. Ada perubahan besar pada mahkamah Syariah bermula tahun 1988.

 

  1. Sebelum tahun 1988, bidang kuasa Mahkamah Syariah boleh diganggu oleh mahkamah sivil seperti Mahkamah Tinggi. Sesetengah keputusan Mahkamah Syariah dibatalkan oleh mahkamah sivil. Maka ada 1988 diperkenalkan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan Perkara 121(1A) yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam perkara yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

 

  1. Kesannya amat positif dari sudut mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah dan mengurangkan campurtangan mahkamah sivil dalam perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun ia membawa kesan sampingan yang menimbulkan rasa tidak puas hati warga bukan Islam.

 

  1. Kesan sampingan ini melibatkan konflik bidang kuasa antara mahkamah Syariah dan mahkamah sivil. Terdapat dua kategori utama kes yang membabitkan konflik bidangkuasa iaitu: (1) kes berkaitan penentuan status agama atau kes murtad; (2) kes penentuan agama serta hak penjagaan anak bila salah seorang pasangan memeluk Islam.

 

  1. Akibat konflik ini ialah rasa prejudis sebahagian masyarakat bukan Islam terhadap mahkamah Syariah.

 

  1. Rasa tidak senang ini dihangatkan lagi dengan agenda jahat sesetengah pihak yang cuba untuk menjadikan isu ini sebagai umpan sokongan politik.

 

  1. Parti-parti tertentu seperti DAP cuba untuk menunjukkan bahawa merekalah juara membela masyarakat bukan Islam. Jadi apabila ada usaha untuk menaikkan bidang kuasa mahkamah Syariah, mereka bersungguh-sungguh menjadikannya sebagai isu politik, walau pun pindaan Akta 355 misalnya tidak ada kaitan langsung dengan konflik bidang kuasa tadi.

 

  1. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kewujudan gerakan liberal di kalangan orang Islam yang konsisten menentang sebarang usaha untuk memartabatkan Islam. Bagi mereka agama adalah urusan peribadi dan pemerintah tidak boleh menguatkuasakan urusan yang dikira sebagai kebebasan peribadi. Mereka bercakap atas hujah demokrasi, kebebasan, hak asasi dan hak wanita.

 

  1. Pemikiran aliran liberal ini meresap dalam fikiran orang Islam tanpa disedari. Bahkan ada kelompok yang dahulunya mempunyai semangat Islam, akhirnya terpesona dengan hujah liberal sehingga turut menari rentak kelompok liberal untuk membantah usaha menegakkan Syariah.

 

  1. Selain daripada faktor di atas, kontroversi kepada pindaan Akta 355 sekarang juga berlaku kerana timbul salah faham bersabit kaitan pindaan ini dengan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Undang-undang jenayah Syariah atau disebut sebagai hudud menjadi satu lagi umpan politik parti-parti tertentu untuk menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

 

  1. Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka tidak lah pelik kenapa pindaan yang dicadangkan sekarang ini berbeza dengan situasi pada tahun 1965 dan 1984. Oleh yang demikian, usaha penerangan, pendidikan dan perbincangan amat penting bagi menjayakan cadangan pindaan ini. Salah faham dan kekeliruan perlu diselesaikan. Peranan umat Islam adalah untuk saling membantu memberikan sokongan dan penjelasan bukannya menambahkan lagi kekeliruan.

 

  1. Usaha pendidikan dan penerangan ini termasuklah dengan mengadakan perhimpunan aman. Perhimpunan dapat memberikan impak yang berbeza berbanding program ceramah atau forum. Perhimpunan juga adalah satu bentuk pendidikan bagi masyarakat yang selama ini kurang peka dengan perkembangan semasa. Secara tidak langsung perhimpunan juga dapat menunjukkan suara umat Islam yang mahukan hak dan kebebasan mereka beramal dengan agama Islam dapat dijamin dengan sebaik-baiknya.

 

Dr Fathi Yusof

Gombak, Selangor

Soal Jawab RUU355 (Siri 3): Kenapa pindaan Akta 355 ini perlu dibuat?

Standard

akta355-3

 

Soal Jawab RUU355 (Siri 3): Kenapa pindaan Akta 355 ini perlu dibuat?

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah penting kerana beberapa sebab:

1. Akta ini sudah lama tidak dipinda sedangkan ia melibatkan had bidang kuasa mahkamah yang perlu disesuaikan dengan perkembangan masa. Contohnya dari sudut denda, kadar yang dikenakan adalah RM5000 pada melalui pindaan tahun 1984. Nilai wang pada tahun 1984 dan sekarang sangat berbeza, maka pindaan adalah sangat perlu.

2. Had yang dikenakan dalam akta sedia ada adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan mahkamah sivil. Bagi mahkamah sivil paling rendah iaitu Mahkamah Magistret, bidang kuasanya ialah 5 tahun penjara, RM10,000 denda dan 12 kali sebat.

3. Secara bandingannya perlindungan untuk keutuhan sistem perkahwinan kepada umat Islam lebih lemah berbanding perlindungan untuk masyarakat bukan Islam. Misalnya dalam kes penipuan pendaftaran perkahwinan serta sindiket kahwin palsu, hukuman untuk kesalahan ini dalam undang-undang untuk bukan Islam lebih tinggi iaitu 10 tahun penjara dan denda RM15,000 berdasarkan seksyen 40 Akta Pembaharuan Undang-undang (Pernikahan dan Perceraian) 1976.

4. Undang-undang Jenayah Syariah semakin mantap dan terdapat kesalahan-kesalahan jenayah yang dikemaskini. Bermula tahun Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1988, hampir semua negeri kini mempunyai undang-undang khusus untuk jenayah syariah. Oleh itu soal had hukuman terperinci tentunya boleh diurus dengan lebih kemas oleh undang-undang negeri.

5. Kaedah sebatan dalam Islam adalah berbeza dengan sebatan di bawah Kanun Kesiksaan. Oleh itu kadar sebatan sebanyak 6 kali adalah terlalu sedikit.

6. Terdapat kesalahan yang hampir sama di bawah Kanun Kesiksaan dan di bawah Enakmen Jenayah Syariah seperti kesalahan sumbang mahram, kesalahan liwat, dan keterlibatan dalam pelacuran. Kadar hukuman di bawah Kanun Kesiksaan jauh lebih tinggi misalnya bagi kesalahan sumbang mahran (incest) hukumannya ialah penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun (Seksyen 376B Kanun Kesiksaan).

7. Keperluan undang-undang jenayah Syariah untuk menepati, atau sekurang-kurangnya menghampiri kehendak Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu meningkatan adalah satu usaha ke arah tersebut.

8. Jika diteliti realiti Mahkamah Syariah hari ini, kita akan mendapati bahawa cadangan ini adalah wajar sesuai dengan Mahkamah Syariah sebagai satu institusi mahkamah, bukannya satu peringkat mahkamah seperti mahkamah Magistret dan Mahkamah Sesyen. Bahkan di bawah institusi mahkamah Syariah terdapat tiga peringkat mahkamah (akan ditambah menjadi lima). Ini bermakna Mahkamah Syariah memerlukan bidangkuasa hukuman yang lebih besar dan tidak tertakluk kepada had-had yang terlalu terperinci.

9. Mahkamah Syariah sebenarnya tidak ada kebebasan mutlah untuk menentukan jumlah hukuman. Selain Akta 355, mahkamah Syariah juga tertakluk kepada Enakmen-enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri. Perincian had-had hukuman perlu ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Enakmen Jenayah Syariah masing-masing. Jadi tidak timbul soal mahkamah Syariah mempunyai kebebasan mutlak atau diberikan kuasa yang terlalu besar.

 

Dr Fathi Yusof
Gombak, Selangor